Monday 30 June 2014

Status Hadis Lima Perkara Yang Membatalkan Puasa



Hadis ini palsu. Ia dihukum palsu oleh Abu Hatim al-Razi, Ibn al-Jauzi, al-Suyuti,Ibnn Iraq al-Kinani dan al-Syaukani kerana ada perawi bernama Said bin Anbasah dan maisarah bin abd rabbih. Kedua-dua mereka adalah pendusta. (Rujuk: Ilal al-Hadith, jld. 1, hlm. 258, al-Maudhuat, jld. 2, hlm. 195, al-Laali al-Masnuah, jld. 2, hlm. 90, Tanzih al-Syariah, jld. 2, hlm. 145, al-Fawaid al-Majmuah, hlm. 94)

Wallahua'lam

[Hadis Palsu Tarawih Mengikut Malam]




Cuba perhatikan fadhilat malam ke 8 dan 9. Ini petanda jelas bahawa hadis ini palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah ketika menghuraikan kepalsuan hadis solat Dhuha dengan kaifiat tertentu pahala 70 ORANG NABI:

وكأن هذا الكذاب الخبيث لم يعلم أن غير النبي لو صلى عمر نوح عليه السلام لم يعط ثواب نبي واحد

Maksudnya: Seolah-olah si pendusta yang jijik ini tidak tahu bahawa individu selain dari Nabi jika solat selama umur Nabi Nuh alaih al-salam tidak sekali-kali akan diberi pahala seorang Nabi pun. (Rujuk: al-Manar al-Munif, hlm. 50, no. hadis: 51)

Saya katakan: jika dalam hidup kita bertarawih 50 kali adakah kita dapat pahala seperti 50 pahala Nabi Ibrahim? Demi Allah hadis ini satu penghinaan kepada Khalilullah Ibrahim alaih al-Salam. 

Tuesday 24 June 2014

Status Hadis Meninggalkan Doa Kepada Ibubapa Menyempitkan Rezeki



Saya ditanya tentang status hadis di dalam gambar ini. Lafaz yang saya jumpa ialah seperti berikut:

إذا ترك العبد الدعاء للوالدين فإنه ينقطع عن الولد الرزق في الدنيا

Maksudnya: Apabila seorang hamba meninggalkan doa untuk kedua ibubapanyamaka ia memutuskan rezekinya di dunia.

Hadis ini adalah riwayat al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dari jalur Anas. Ia adalah hadis MATRUK (terlalu daif) kerana perawinya yang bernama al-Juwaibari yang dikesan selalu menipu dalam urusan hidupnya.

(Lihat: Ibn al-Jauzi, al-Maudhuat, jld. 3, hlm. 86, al-Suyuti, al-Laali al-Masnu'ah, jld. 2, hlm. 250, al-Zahabi, Talkhis al-Maudhu'at, hlm. 279)

*walaubagaimanapun doa ke atas ibubapa semangnya dituntut.

Hukum Azan Berduet Di Sisi Ulama Empat Mazhab


Saya telah ditanya mengenai hukum azan berduet seperti yang dilakukan dalam video ini.


Setelah menyemak beberapa kitab-kitab ulama 4 mazhab, saya dapati pandangan yang tepat dan kuat ialah perbuatan ini dilarang. Saya nukilkan pandangan 4 mazhab berkenaan isu ini:

1. Mazhab Hanafi: al-Sarakhsi berkata:
إذا وقع في إقامته فمات أو أغمي عليه فأحب إلي أن يبتدئ الإقامة غيره من أولها لأن عمله قد انقطع بالموت ولا بناء على المنقطع

Maksudnya: Apabila muazzin jatuh ketika iqamahnya lalu mati atau pengsan saya lebih suka orang lain (yang menggantikannya) untuk memulakan semula iqamahnya dari awal kerana amalan muazzin awal telah terputus dengan kematian dan tidak boleh menyambung amalan yang terputus. (Rujuk: al-Mabsuth, jld. 1, hlm. 139)

2. Mazhab Maliki: Ibn Rusyd menyatakan:

لم يجز لمن أذن بعض أذانه أن يستخلف على بقيته...ووجب إذا قطع المؤذن الأذان من أجل رعافه ، أن يستأنف رجل آخر الأذان من أوله ، ولا يبني على أن أذان الراعف

Maksudnya: Tidak dibenarkan bagi muazzin yang azan separuh (kerana berdarah hidungnya secara tiba-tiba) untuk memanggil orang lain menggantikannya (bagi menyambung azannya) yang masih berbaki...dan apabila muazzin memberhentikan azannya kerana berdarah hidung maka wajib ke atas lelaki lain untuk memulakan semula azan (dari awal) dan dia tidak boleh menyambung di mana muazzin tadi berhenti. (Rujuk: al-Bayan wa al-Tahsil, jld. 2, hlm. 127)

- Ini menunjukkan seseorang perlu azan secara sempurna. Jika tidak orang perlu mulakan azan yang baru. Tidak boleh berduet.

3. Mazhab Syafie: Kata Ibn Hajar al-Haitami:

ومنه ما يقع من المؤذنين حال اشتراكهم في الأذان من تقطيع كلمات الأذان بحيث يذكر واحد بعض الكلمات وغيره باقيها وينبغي حرمة ذلك ؛ لأنه تعاط لعبادة فاسدة

Maksudnya: Dan (yang dilarang juga) apa yang berlaku dari beberapa muazzin ketika mereka berduet dalam azan dengan memotong-motong kalimah azan seperti seorang menyebut beberapa perkataan dalam azan dan orang lain menyebut bakinya. Seeloknya diharamkan perkara ini kerana ia bekerjasama dalam ibadah yang rosak. (Rujuk: Tuhfat al-Muhtaj, jld. 1, hlm. 470)

4. Mazhab Hanbali:

وليس للرجل أن يبني على أذان غيره لانها عبادة بدنية فلا تصح من شخصين كالصلاة.

Maksudnya: Tidak boleh bagi seorang lelaki untuk menyambung azan orang lain kerana azan adalah ibadah tubuh badan yang tidak boleh dilakukan oleh dua orang seperti solat. (Rujuk: al-Syarh al-Kabir, jld. 1, hlm. 407)

Pandangan ini juga disokong oleh ulama terkemuka hari ini iaitu:

1. Syeikh Wahbah al-Zuhaili dengan katanya:

فلو أذن مؤذن ببعضه، ثم أتمه غيره لم يصح، كما لايصح إذا تناوبه اثنان بحيث يأتي كل واحد بجملة غير التي يأتي بها الآخر؛ لأن الأذان عبادة بدنية، فلا يصح من شخصين يبني أحدهما على الآخر.

Maksudnya: Jika seorang muazzin melaungkan separuh azan kemudian orang lain menyambungnya sehingga sempurna azan itu tidak sah. Begitu juga tidak sah apabila dua muazzin berganti-ganti dalam azan seperti setiap seorang dari mereka melaungkan sepotong ayat (dari azan) yang tidak dilaungkan oleh muazzin yang seorang lagi (berduet) kerana azan adalah ibadah tubuh badan maka tidak sah dilakukan oleh dua orang yang mana salah seorang menyambung azan orang lain. (Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jld. 1, hlm. 699)

2. Pengarang kitab al-Fiqh ala al-Mazahib al'Arba'ah (Tambahan)

بقي من شرائط الأذان المتفق عليها أن يأتي به شخص واحد فلو أذن مؤذن ببعضه ثم أتمه غيره لم يصح كما لا يصح إذا تناوبه اثنان أو أكثر بحيث يأتي كلواحد بجملة غير التي يأتي بها الآخر وقد يسمي ذلك بعضهم بأذان الجوق أو الأذان السلطاني وهو جهل ومن فعله فقد أبطل سنة الأذان نعم إذا أتى به اثنان أو أكثر بحيث يعيد كل واحد ما نطق به الآخر بدون تحريف وبذلك يؤذن كل واحد منهم أذانا كاملا فإنه يصح وتحصل به سنة الأذان

Maksudnya: Yang masih tinggal dari syarat-syarat azan yang disepakati ialah azan dilaungkan oleh seorang individu. Jika seorang melaungkan separuh azan kemudian orang lain menyempurnakannya tidak sah sepertimana tidak sahnya dua orang atau lebih yang berganti-ganti seperti seorang melaungkan satu ayat (dari azan) yang tidak disebut oleh orang lain. Perbuatan ini dinamakan juga oleh sebahagian orng sebagai azan al-Jauq atau azan sultani. Ia adalah satu kejahilan. Sesiapa yang melakukannya telah membatalkan sunnah azan. Ya jika jika azan dilaungkan oleh dua orang tetapi keduanya mengulangi apa yang disebut oleh muazzin yang seorang lagi tanpa menyeleweng dengan (kata lain) setiap orang dari mereka melaungkan azan dengan sempurna maka ia sah dan melaksanakan sunnah azan. (Rujuk: al-Fiqh ala al-Mazahib al'Arba'ah, jld. 1, hlm. 461)

* Saya menganggap bahawa muazzin ini berniat baik untuk bekerjasama dalam perkara kebaikan tetapi mereka tersilap. Ibadah perlu terikat dengan disiplin. Tidak dinafikan azan mereka merdu cuma cara mereka salah. Harap dapat diperbetulkan selepas ini. Wallahua'lam.

Status Hadis Doa Sebelum Ramadhan




Ramai yang bertanya saya tentang status hadis di dalam gambar ini. Saya katakan lafaz yang betul bagi hadis tersebut ialah:

Nabi sallallah alaih wasallam naik ke atas minbar lalu mengucapkan amin amin amin. Lalu setelah ditanya mengapa baginda menyebut demikian baginda menjawab:

Jibril telah datang kepadaku lalu berdoa:

1. Malang bagi orang yang dapat hidup di bulan ramadhan tetapi tidak dapat pengampunan.

2. Malang bagi sesiapa yang mempunyai kedua ibu bapa atau salah seorang dari mereka tetapi tidak berbuat baik kepada mereka.

3. Malang bagi orang yang mendengar namamu disebut tetapi tidak berselawat ke atasmu.

Hadis sahih riwayat Ibn Hibban.

* Adapun lafaz seperti yang disebut dalam gambar saya tidak menjumpainya dalam kitab-kitab hadis. Wallahua'lam.

Saturday 21 June 2014

Status Hadis Gugurnya Dosa Suami Isteri Yang Saling Berpegangan Tangan



Saya ditanya tentang hadis di dalam gambar di atas. Maka saya katakan hadith ini salah satu jalurnya palsu dan jalur yang kedua munkar munkar (terlalu daif). Keterangannya seperti berikut:

Hadis ini diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri melalui dua jalur:

1. Jalur pertama: terdapat perawi yang bernama Ismail bin Yahya al-Tamimi. Beliau meriwayatkan hadis ini dari Mis'ar bin Kidam, Dari Atiiyah al-ِAufi dari Said al-Khudri.

Ismail bin Yahya bertaraf pendusta. Maka riwayatnya palsu. (Rujuk: al-Zahabi, al-Mughni fi al-Dhu'afa', hlm. 42)

2. Jalur kedua: Terdapat perawi bernama Ibrahim bin Nasih. Beliau meriwayatkan hadis ini dari al-Nadhr bin Syumail dari Mis'ar bin Kidam dari Atiyyah al-Aufi. (Rujuk: Tarikh Asbahan, hlm.242)

Abu Nuaim al-Asbahani menyatakan bahawa Ibrahim bin Nasih ini adalah perawi matruk (ditinggalkan riwayatnya).

Ishaq bin Rahuyah pula menyatakan beliau banyak meriwayatkan hadis munkar dari al-Nadhr bin Syumail. (Rujuk: Lisan al-Mizan, jld. 1, hlm 372)

Riwayat ini juga mempunyai masalah yang ketiga iaitu perawi yang bernama Atiyah al-Aufi. Beliau daif di sisi ulama hadis.

Meluruskan Salah Faham Terhadap Pendirian al-Syatibi Dalam Maqasid Ibadat

Saya pernah menukilkan dari al-Syatibi yang menyatakan bahawa maqasid Ibadat dalam Islam hanya beridiri teguh di atas dalil tanpa memikirkan sebab atau faedahnya kecuali sedikit. Terdapat seorang sahabat saya cuba untuk memberikan pemahaman yang lain dalam isu ini. Namun bagi saya pemahaman beliau tersasar dari pendirian al-Syatibi. 
Saya nukilkan teks penuh sahabat saya sebelum saya memberi komentar (teks beliau dalam tulisan Italic):

ASAL IBADAT TA'ABBUDI DAN NAS IBADAT MUTLAK DISISI AL-SYATIBI
Apa yang dinaqal oleh ust Muhamad Rozaimi Yang disebut oleh Imam Syatibi tersebut ialah maqasid (maksud) atau tujuan pensyariatan ibadat. Ia bukanlah qaedah usul yang dhabit yang mesti dituruti dan tidak boleh diingkar
i kerana ia hanya bersifat prinsip yang dihasilkan dari istiqra' ke atas hukum2 ibadat bukannya hasil dari dilalah nas. Dalam erti kata lain ia adalah kaedah fiqah bukannya kaedah usul fikah.Cuba fahami perbezaan keduanya dulu.
Dalam Muwafaqat Imam Syatibi telah menulis dalam kitab maqasid satu fasal 'الأصل في العبادة التعبد والتزام النص' iaitu 'Asal maksud pensyariatan ibadat ialah pengabdian dan menurut nas' dan beliau menjelaskan semua ibadat perlu merujuk kepada nas. Maka tidak boleh ijtihad dalam mengadakan ibadat yang baru, maka ibadat islam yang disyariatkn terhenti atas nas iaitu solat,zakat,haji,umrah,zikir tilawah doa sbg yg disyariatkan sahaja. Kerana maqasid syara' ialah taat apa yang dinaskan sahaja.Tidak boleh qiyas berpandukan 'illah. Namun beliau MENGECUALIKAN dalam bab tertentu seperti qasar dalam musafir boleh diketahui illahnya. Begitu juga beliau menulis satu fasal 'الأصل في العادات التعليل و القياس' iaitu 'Asal maksud pensyariatan adat ialah berpegang pad 'illah dan qiyas'. Namun beliau MENGECUALIKAN beberapa perkara dalam adat yang perlu kepada ta'abbud dan iltizam nas. Sehingga beliau membuat satu fasal yang lain dibawah fasal ini 'لا تخلو العادات عن التعبد أيضا' iaitu 'Tidak terkecuali Adat dari perkara ta'abbud juga.Maka PENGECUALIAN ini menunjukkan keduanya terdapat persamaan dan membuktikan penilaian syatibi dalam bab ini ialah dari sudut prinsip maqasid sahaja bukan dari sudut qaidah usul.
Untuk isu ibadat yang disyariatkan mutlak dan dijtihadkan kaifiat masa dan bilangannya oleh ulamak sebenarnya tidak menyalahi maqasid ibadat syatibi ini. Rukun solat,lafaz zikir, ayat quran hukum tajwid tawaf sa'i tidak boleh diijtihad dan inilah yg dimaksudkan oleh Syatibi dengan iltizam nas. Namun sekiranya ibadat yang disyariatkan mutlak dan dijtihadkan takhsis masa bilangan maka ia termasuk dalam bab taqyid almutlak, iaitu menkhususkan syariat umum atau mutlak. Boleh rujuk kata2 Al-Syatibi dalam masalah ni:
أنه لو كان الأمر بالمطلق من حيث هو مطلق لا يستلزم الأمر بالمقيد لكان التكليف به محالا أيضا, لأن المطلق لا يوجد في الخارج و إنما هو موجود في الذهن و المكلف به يقتضي أن يوجد في الخارج إذ لا يقع به الإمتثال إلا عند حصوله في الخارخ.
Sekiranya satu perintah yg mutlak tidak boleh di taqyidkan maka ia adalah MUSTAHIL kerana mutlak hanya terdapat dalam kefahaman adapun mukallaf yang akan mengamalkannya berada di luar (faktor luaran seperti orang masa tempat). TIDAK tertunai perintah tadi sekiranya tidak digunakan faktor luaran.
أن التكليف بالمطلق عند العرب ليس معناه التكليف بأمر ذهني بل معناه التكليف بفرد من الأفراد الموجودة في الخارج.
Sesungguhnya taklif untuk perintah mutlak disisi arab bukanlah taklif (bebanan) pada kefahaman sahaja bahkan taklif pada INDIVIDU yang wujud pada faktor luaran.
فإذا إعتق المكلف رقبة أو ضحى بأضحية أو صلى صلاة و مثلها موافق للمطلق فله أجر ذلك من حيث هو داخل تحت المطلق
Sekiranya mukallaf itu bebaskan hamba, SEMBELIH BINATANG , SOLAT SEJENIS SOLAT dan sebagainya BERTEPATAN dengan mutlak baginya satu ganjaran kerana ia termasuk dalam mutlak.
(Al-Muawafaqat Masalah AlAmru BilMutlak, m.s117)
Imam Syatibi jelas membenarkan ijtihad kaifiat masa bilangan dalam ibadat pada nas2 ibadat yang multak.Tidak hairan lah mengapa beliau mengharuskan beramal berdasarkan mimpi, dengan syarat sekiranya amal tersebut tidak menyalahi usul agama dan nas2 mutlak. Cuba lihat kata2 beliau ini :
Sedangkan memanfaatkan hukum, jelas tidak diperbolehkan, sebagaimana dikisahkan dari Al Kattani, ia berkata, “Aku bermimpi melihat Nabi, dan di dalam mimpi itu aku berkata, ‘Doakanlah aku kepada Allah agar tidak mematikan hatiku. Beliau menjawab, ‘Katakanlah setiap hari sebanyak empat puluh kali kalimat, “Ya hayyu ya qayyum laailaaha ilia anta.” Ini perkataan BAIK dan tidak ada masalah kebenarannya, karena menurut syariat dzikir memang dapat menghidupkan hati. Faidah mimpi adalah memberitahukan kebaikan, dan ini dari sisi kabar gembira. Dengan demikian, masalah yang lain hanya pembicaraan tentang EMPAT PULUH KALI ; apabila tidak ada dalam bentuk kelaziman, maka itu BENAR. (Al-'itisam ms 309)
Imam Syatibi tidak menganggap takhsiskan bilangan itu (kaifiat) sebagai ijtihad hukum, bagi beliau sekiranya menganggap ia dalam kelaziman (mewajibkan) sahaja baru dianggap mengambil manfaat hukum dan ini yang tidak dibenarkan.Sudah tentu ibadat ini harus kerana ia termasuk dalam nas mutlak suruhan berzikir. Maka beliau mengharuskan berzikir dengan bilangan demikian.Wallahu a'lam.
Betulah kata ust Muhd Rozaimi, kalau ponteng kelas maqasid masa B.A, nanti keliru masa nak buat PHD.

Komentar saya:

1. Saya amat kagumi semangat beliau mengkritik perkara yang beliau anggap tidak benar walaupun sebenarnya pemahaman beliau yang kurang tepat. Syabas diucapkan.

2. Isu kaedah usul yang beliau kemukakan dengan berkata:
"Apa yang dinaqal oleh ust Muhamad Rozaimi Yang disebut oleh Imam Syatibi tersebut ialah maqasid (maksud) atau tujuan pensyariatan ibadat. Ia bukanlah qaedah usul yang dhabit yang mesti dituruti dan tidak boleh diingkari kerana ia hanya bersifat prinsip yang dihasilkan dari istiqra' ke atas hukum2 ibadat bukannya hasil dari dilalah nas".

- Saya katakan:
i. Sememangnya kaedah usul dan kaedah fikah diambil dari istiqra' (penelitian) menyeluruh terhadap nas. Ini kerana kedua-dua kaedah ini bersifat umum (walaupun ia ada pengecualian) merangkumi banyak bab.
ii. Jika ia hanya kaedah fikah mengapa? adakah saudara hanya memilih untuk memakai kaedah usul sahaja?

3. Beliau katakan:
"Namun beliau (Syatibi) MENGECUALIKAN dalam bab tertentu seperti qasar dalam musafir boleh diketahui illahnya".

Saya katakan:
i. Sememangnya hampir setiap kaedah ada pengecualian bahkan ia sedikit pun tidak mencacatkan kaedah.
ii. Qasar solat yang diketahui illahnya dengan akal tetapi Syatibi menyatakan ia hanya terpakai dalam perkara yang disebut dalam dalil semata. Lihat teks Syatibi berikut:

فإن المناسب فيها معدود عندهم فيما لا نظير له، كالمشقة في قصر المسافر وإفطاره، والجمع بين الصلاتين، وما أشبه ذلك
Maksudnya: Illah yang munasabah dalam bab ibadat di sisi mereka (ulama) hanya tertumpu pada perkara yang tiada contoh lain (selain dari yang disebut dalam nas) seperti (illah) kesukaran yang memboleh qasar solat, berbuka, menjamakkan antara dua solat dan seumpamanya. (al-Muwafaqat, jld. 5, hlm 212)

4. Beliau menukilkan teks al-Syatibi:
"أنه لو كان الأمر بالمطلق من حيث هو مطلق لا يستلزم الأمر بالمقيد لكان التكليف به محالا أيضا, لأن المطلق لا يوجد في الخارج و إنما هو موجود في الذهن و المكلف به يقتضي أن يوجد في الخارج إذ لا يقع به الإمتثال إلا عند حصوله في الخارخ.
Sekiranya satu perintah yg mutlak tidak boleh di taqyidkan maka ia adalah MUSTAHIL kerana mutlak hanya terdapat dalam kefahaman adapun mukallaf yang akan mengamalkannya berada di luar (faktor luaran seperti orang masa tempat). TIDAK tertunai perintah tadi sekiranya tidak digunakan faktor luaran".

Saya katakan:
i. Saya tidak pasti samada beliau membaca habis atau hanya membaca secara pantas isu ini. Sebenarnya ini BUKAN pendapat al-Syatibi. al-Syatibi berpendapat bahawa perintah (Syara' melakukan) sesuatu secara mutlak tidak merangkumi perintahnya secara muqayyad (dikait dengan sifat). Berikut teks al-Syatibi:

الأمر بالمطلق لا يستلزم الأمر بالمقيد، والدليل على ذلك أمور:
أحدها:
أنه لو استلزم الأمر بالمقيد لانتفى أن يكون أمرًا بالمطلق، وقد فرضناه كذلك، هذا خلف، فإنه إذا قال الشارع: "أعتق رقبة"؛ فمعناه أعتق ما يطلق عليه هذا الاسم من غير تعيين، فلو كان يستلزم الأمر بالمقيد لكان معناه: أعتق الرقبة المعينة الفلانية؛ فلا يكون أمرًا بمطلق ألبتة.

Maksudnya: Perintah secara mutlak tidak semestinya merangkumi perintah secara muqayyad dan dalilnya beberapa perkara pertamanya: Jika perintah mutlak merangkumi perintah secara muqayyad sudah semestinya ternafi perintah secara mutlak. Kita andaikan jika syarak mengatakan: "Bebaskan hamba" maka maknanya dia perlu bebaskan sesuatu yang sesuai dinamakan hamba tanpa ditentukan (dengan apa-apa sifat seperti lelaki atau perempuan). Jika perintah mutlak merangkumi perintah muqayyad sudah semestinya perintah mutlak itu bermaksud: "bebaskan hamba fulan yang bersifat fulan" maka tidak akan wujudlah perintah mutlak sekali-kali.

Teks yang anda bawakan sebenarnya bukan pendapat al-Syatibi tetapi beliau bawakan untuk mengkritiknya semula. Lihat kritikan al-Syatibi kepada teks yang anda bawa:

فالجواب عن الأول أن التكليف بالمطلق عند العرب ليس معناه التكليف بأمر ذهني، بل معناه التكليف بفرد من الأفراد الموجودة في الخارج، أو التي يصح وجودها في الخارج مطابقًا لمعنى اللفظ، بحيث لو أطلق عليه اللفظ صدق وهو الاسم النكرة عند العرب، فإذا قال: "أعتق رقبة"؛ فالمراد طلب إيقاع العتق بفرد مما يصدق عليه لفظ الرقبة فإنها4 لم تضع لفظ الرقبة إلا على فرد من الأفراد غير مختص بواحد من الجنس، هذا هو الذي تعرفه العرب، والحاصل أن الأمر به أمر بواحد مما في الخارج، وللمكلف اختياره في الأفراد الخارجية
Maksudnya: Jawapan kepada kritikan awal (iaitu teks yang anda nukilkan tadi) ialah taklif (bebanan) dengan sesuatu yang mutlak di sisi arab bukan bermakna taklif pada perkara yang dibayangkan (akal) bahkan maknanya ialah bebanan dengan salah satu individu yang individu-individu secara mutlak pada alam realiti atau sesuatu yang boleh wujud pada realiti yang bersesuaian dengan makna lafaz (mutlak) sehingga jika dinamakan ia dengan lafaz mutlak ia benar (sahih) dan itulah kata nama nakirah di sisi arab. Apabila dia berkata: bebaskan hamba. maka yang dikehendaki ialah tuntutan melakukan pembebasan sesuatu yang sesuai dinamakan hamba. Maka lafaz hamba tidak diletakkan melainkan pada individu tanpa diikat dengan apa-apa sifat lain selain dari hamba. Inilah yang difahami oleh orang arab. Hasilnya perintah dengan mutlak ialah perintah melakukan satu dari apa yang wujud di alam realiti dan bagi mukallaf ada hak memilih dari individu-individu yang wujud pada realiti.

ii. Saya tidak nampak dalam isu ini al-Syatibi membuat kesimpulan boleh berijtihad meletakkan apa-apa takhsis bagi ibadat yang disyariatkan secara mutlak. Seballiknya beliau berbahas tentang isu perintah secara mutlak. Dan isu ini tidak perlu ijtihad bagi al-Syatibi sebaliknya kata al-Syatibi mukallaf boleh memilih mana-mana satu perkara dalam perintah yang mutlak.

Saudara berkata lagi:
"Imam Syatibi jelas membenarkan ijtihad kaifiat masa bilangan dalam ibadat pada nas2 ibadat yang multak".

Saya katakan:
i. Ini suatu kesimpulan yang dahsyat kerana al-Syatibi tidak menjelaskan langsung tentang isu ini dalam teks yang anda nukilkan sebelum ini.

ii. Saya dapati al-Syatibi menyanggahi kesimpulan anda dalam isu ijtihad meletak takhsis dalam ibadat mutlak. Saya nukilkan kepada anda:

- Teks al-Syatibi ketika berbicara tentang isu bidaah idhafiah dalam kitabnya al-I'tisam:

ربما يتوهم أنه كالأول، من جهة أنه إذا ثبت أصل عبادة في الجملة؛ فيسهل في التفصيل نقله من طريق غير مشترط الصحة، فمطلق التنفل بالصلاة مشروع، فإذا جاء ترغيب في صلاة ليلة النصف من شعبان؛ فقد عضده أصل الترغيب في صلاة النافلة، وكذلك إذا ثبت أصل صيام؛ ثبت صيام السابع والعشرين من رجب. . . . وما أشبه ذلك.
وليس كما توهموا؛ لأن الأصل إذا ثبت في الجملة لا يلزم إثباته في التفصيل، فإذا ثبت مطلق الصلاة؛ لا يلزم منه إثبات الظهر والعصر أو الوتر أو غيرها حتى ينص عليها على الخصوص، وكذلك إذا ثبت مطلق الصيام؛ لا يلزم منه إثبات صوم رمضان أو عاشوراء أو شعبان أو غير ذلك، حتى يثبت بالتفصيل بدليل صحيح

Maksudnya: "(Jenis yang ketiga) kemungkinan disalah anggap bahwa ia seperti yang pertama (amalan yang disyariatkan) dari sudut asalnya sabit secara umum maka dimudahkan untuk mensabitkannya secara tafsil walaupun dengan dalil yang tidak sahih. Maka semata solat sunat itu disyariatkan dan apabila datang satu hadis galakan untuk bersolat PADA MALAM NISFU SYAABAN maka amalan ini disokong oleh asal galakan solat sunat (secara mutlak). Begitu juga apabila sabit asal bagi puasa maka sabit juga puasa pada 27 rejab dan seumpamanya.

Sebenarnya ia tidak seperti mana yang dianggap itu kerana sesuatu asal bagi amalan apabila ia sabit secara umum ia tidak semestinya sabit secara tafsil. Apabila asal solat telah sabit ia tidak semestinya mensabitkan solat zohor, asar atau witir dan selainnya sehinggalah disebut dalam nas secara khusus. Begitu juga asal bagi puasa yang telah sabit ia tidak mensabitkan puasa ramadhan, asyura atau syaaban atau selainnya sehingga sabit secara tafsil dengan dalil yang sahih".

- Teks al-Syatibi ketika menghuraikan definisi bidaah dalam kitabnya al-I'tisam:
وقوله في الحد: " تضاهي الشرعية " ; يعني أنها تشابه الطريقة الشرعية من غير أن تكون في الحقيقة كذلك، بل هي مضادة لها من أوجه متعددة:
منها: وضع الحدود; كالناذر للصيام قائما لا يقعد، ضاحيا لا يستظل، والاختصاص في الانقطاع للعبادة، والاقتصار من المأكل والملبس على صنف دون صنف من غير علة.
ومنها: التزام الكيفيات والهيئات المعينة، كالذكر بهيئة الاجتماع على صوت واحد، واتخاذ يوم ولادة النبي صلى الله عليه وسلم عيدا، وما أشبه ذلك.
ومنها: التزام العبادات المعينة في أوقات معينة لم يوجد لها ذلك التعيين في الشريعة، كالتزام صيام يوم النصف من شعبان وقيام ليلته.
Maksudnya: "Katanya (al-Syatibi) dalam definisi bidaah: "menyamai perkara syarie" ia bermaksud bidaah menyamai perkara yang disyariatkan walaupun sebenarnya ia tidak seperti itu bahkan ia bercanggah dengannya dari beberapa sudut antaranya:

Meletakkan had seperti orang yang bernazar puasa berdiri dan tidak mahu duduk,berjemur pada waktu dhuha, mengkhususkan diri dengan ibadat semata, berpada dengan jenis tertentu dalam makanan, berpakaian tanpa sebab.

Antaranya lagi: melazimi kaifiat dan bentuk tertentu seperti berzikir dalam keadaan beramai-ramai dengan satu suara dan menjadikan hari kelahiran Nabi sallallah alaih wasallam sebagai hari raya dan seumpamanya.

Antaranya lagi: Melazimi ibadat tertentu pada waktu tertentu sedangkan tidak ada dalam syariah ketentuan untuk itu seperti melazimi puasa 15 syaaban dan berqiyamullail pada malamnya".

Ini menunjukkan beriltizam ibadat tertentu pada waktu tertentu tanpa dalil (dengan kepercayaan ada fadhilat) tanpa dalil adalah bidaah bagi al-Syatibi.

Manakala dalam isu bilangan 40 dalam mimpi itu pula al-Syatibi telah nyatakan jelas ia boleh diamalkan jika tiada iltizam (al-Luzum).

Sekian terima kasih.

Status Hadis Berselawat Ketika Telinga Berdengung




Ramai yang bertanya saya tentang status hadis yang dinukilkan dalam gambar di atas. Maka saya jawab seperti berikut:

Hadis ini munkar (terlalu daif). Keterangannya seperti berikut:

Punca hadis ini dari riwayat Muhammad bin Ubaidillah bin Abi Rafi'. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:
1. Kata al-Bukhari: munkar al-hadith.
2. Kata Abu Hatim al-Razi: tersangat munkar al-hadith..bahkan gugur hadisnya (tidak terpakai).
3. Kata Ibn Maien: tiada nilai.
4. Kata al-Daraqutni: beliau matruk (perawi yang ditinggalkan riwayatnya)
* rujuk: kitab al-Majruhin, jld. 2, hlm. 183, mizan al-I'tidal, jld. 3, hlm. 635
Oleh itu, kebanyakan ulama hadis menghukumnya sebagai palsu/munkar/tiada asal semisal al-Uqaili, ibn al-jauzi dan ibn qayyim. Manakala al-baihaqi, ibn iraq dan al-Ajlouni menghukumnya daif. Tidak ada khilaf antara mereka yang menyatakan ia munkar dan daif kerana munkar sememangnya salah satu dari jenis-jenis hadis daif. Cuma pada saya ia tidak sampai kepada tahap palsu, ia hanya munkar. Walaubagaimana pun hadis munkar tetap dikategorikan sebagai hadis yang terlalu daif. 

Maka tersilap al-Haithami apabila menilai hasan hadis ini sedangkan muhaddithin mutaqaddimin semisal al-uqaili menghukumnya sebagai tiada asal dan al-bukhari menghukumnya sebagai munkar.  Manakala al-Munawi, beliau juga tersilap apabila hanya berpandukan kepada Ibn Khuzaimah dalam isu ini. (Rujuk: Faidh al-Qadir, jld. 1, hlm. 399). Sebenarnya Ibn Kathir sendiri menyatakan bahawa sanad Ibn Khuzaimah juga dari jalur Muhammad bin Ubaidillah. (Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, cet: Darul Fikr, jld. 3, hlm. 622)  Perlu diketahui bahawa tidak semua hadis yang Ibn Khuzaimah masukkan dalam sahihnya dianggap sahih di sisinya kerana terdapat hadis daif yang beliau masukkan dan beliau sendiri daifkan. Oleh itu Ibn Kathir memberi komentar selepas membawa riwayat ini dalam tafsirnya dengan berkata:

إِسناده غريب, وفي ثبوته نظر

Maksudnya: Sanadnya gharib (ganjil iaitu hanya 1 jalur sahaja) dan perlu perhatian kepada sabitannya (maknanya Ibn Kathir mendaifkannya). 
(Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, cet: Darul Fikr, jld. 3, hlm. 622)
 Wallahua'lam.

Wednesday 11 June 2014

Status Hadis Memukul Larangan Bayi Menangis


Tersebar poster seperti ini di internet. Saya telah ditanya oleh seorang sahabat tentang statusnya. Maka saya katakan ia adalah hadis palsu. Berikut komentar ulama hadis:

1. Kata Ibn Hajar: ia palsu tanpa keraguan (Rujuk: Lisan al-Mizan, cet: muassasah al-A'lami, jld. 4, hlm. 191)

2. Kata Ibn Iraq al-Kinani: ya ia dinisbahkan kepada penipuan dan dusta. (Rujuk: Tanzih al-Syariah al-Marfuah, cet: Dar al-Kutub al-'Ilmiah, jld. 1, hlm. 171)

Berhentilah menyebarkannya melainkan untuk menyatakan ia palsu. Bagi sesiapa yang pernah menyebarkannya untuk mempromosinya bertaubatlah.




Sunday 8 June 2014

Ulasan Terhadap Video al-Fadhil Ustaz Kazim Elias


i. al-Fadhil Ustaz, saya tahu ustaz amat mementingkan penjagaan hukum-hakam Islam. Saya juga sering melihat ustaz mengisi slot-slot ceramah memberi kefahaman Islam kepada masyarakat. Cuma dalam sanggahan ustaz kepada Syeikh al-Qaradawi bagi saya perlu diteliti semula. (Klik untuk menonton video)

ii. Maafkan saya ustaz jika saya katakan alangkah eloknya jika sebelum nak dakwa bahawa tidak ada ulama mazhab yang sebut "babi jadi suci" dalam isu istihalah ini jom tengok apa kata ulama mazhab dulu:

1. Mazhab Hanafi:
Kata Ibn Abidin:
لأن النار تأكل ما فيه من النجاسة حتى لا يبقى فيه شيء ، أو تحيله فيصير الدم رمادا فيطهر بالاستحالة ، ولهذا لو أحرقت العذرة وصارت رمادا طهرت للاستحالة ، كالخمر إذا تخللت ، وكالخنزير إذا وقع في المملحة وصار ملحا .
Maksudnya: kerana api memakan apa yang terkandung di dalamnya daripada sifat najis sehingga tidak berbaki lagi atau ia mengubahnya sehingga darah menjadi abu lalu ia suci dengan istihalah (transformasi). Atas sebab itu juga jika tahi dibakar dan menjadi abu juga menjadi suci seperti arak berubah menjadi cuka dan seperti KHINZIR apabila jatuh ke dalam garam dan (hancur) menjadi garam. (Hasyiah Radd al-Muhtar, cet: Dar al-Fikr, jld. 6, hlm. 735)
2. Mazhab Hanbali:
Ulama mazhab Hanbali meriwayatkan dua riwayat dari Imam Ahmad dalam isu ini. Riwayat pertama ia tidak suci kecuali arak yang berubah menjadi cuka. Riwayat kedua istihalah menjadikan sesuatu najis suci.
Ibn Taimiah (seorang yang bermazhab hanbali) menghuraikan isu ini:
وأما ما استحال بسبب كسب الإنسان، كإحراق الروث حتي يصير رماداً، ووضع الخنزير في الملاحة حتي يصير ملحاً، ففيه خلاف مشهور . وللقول بالتطهير اتجاه وظهور
Maksudnya: Manakala apa-apa yang beristihalah (transfom) dengan usaha manusia (bukan secara semulajadi) seperti pembakaran tahi sehingga menjadi abu dan meletakkan KHINZIR dalam garam sehingga hancur menjadi garam maka dalam isu ini ada khilaf (perbezaan pandangan yang masyhur). Bagi pandangan yang menyatakan ia menyucikan mempunyai arah dan kekuatan. (Majmu al-Fatawa, cet: dar al-Wafa', jld. 29, hlm. 601)

ii. Benar ustaz, tidak menjadi kesalahan jika ingin mengkritik pandangan al-Qaradawi tetapi ustaz alangkah baiknya jika kita pastikan maklumat kita cukup dan tepat dalam isu yang dibincangkan. Kritiklah beliau dengan membawa pandangan sains bahawa istihalah tidak berlaku dalam gelatin sebagai contoh.

Maaf sekali lagi ustaz. Diharapkan ustaz terus berdakwah dengan membawa ilmu yang benar kepada masyarakat. 

Abu Muaz Muhamad Rozaimi
8 Jun 2014