Thursday 18 September 2014

Status Hadis Syurga Bagi Sesiapa Bermimpi Jumpa Nabi Sallallah alaih Wasallam


Saya ditanya oleh beberapa rakan-rakan di FB berkaitan kenyataan ini. Mereka ingin tahu adakah ia hadis atau bukan dan jika ia hadis adakah ia sahih. Kenyataan ini tersebar di internet dan disandarkan kepada seorang ustaz selebriti yang masyhur. Saya tidak pasti samada adakah benar ia kenyataan ustaz tersebut atau tidak. Saya cuma ingin menyatakan status hadis ini semata kerana ia adalah amanah penuntut ilmu hadis.

Sebenarnya hadis ini diriwayatkan dari 2 jalur. Berikut keterangannya:

1. Jalur Pertama:

محمد بن مصفى ثنا يحيى بن سعيد عن سعيد بن ميسرة عن أنس قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم من رآني في المنام فإنه لا يدخل النار

Hadis ini riwayat Ibn 'Asakir dalam Tarikh al-Dimasyq dan al-Dailami. Riwayat ini TERLALU DAIF kerana:

1. Perawi bernama Said bin Maisarah. Beliau terlalu daif bahkan banyak meriwayatkan hadis munkar. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:

- Yahya al-Qattan menganggap beliau pendusta.
- Kata al-Bukhari: Beliau mendengar dari Anas, beliau munkar al-hadith. 
- Kata Abu Hatim: Munkar al-Hadith, daif, beliau meriwayatkan dari Anas hadis-hadis munkar. 
- Kata Ibn Hibban: Dikatakan beliau tidak pernah berjumpa Anas dan beliau meriwayatkan dari Anas hadis-hadis palsu yang tidak menyerupai hadis Anas seolah-olah beliau meriwayatkan dari Anas dari Nabi sallallah alaih wasallam apa yang beliau dengar dari penglipurlara bercerita dalam cerita mereka.

(Lihat: al-Bukhari, al-Dhuafa' al-Saghir, hlm. 51, hlm. 516, Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 4, hlm. 63, Ibn Hibban, al-Majruhin, jld. 1, hlm. 353, Ibn Adiyy, al-Kamil, jld. 3, hlm. 387, al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 2, hlm. 160)

2. Yahya bin Said al-Attar. Beliau juga daif di sisi majoriti ulama hadis semisal Yahya bin Maien, al-Uqaili, Ibn Khuzaimah, Ibn Adiyy, Ibn Hibban dan al-Daraqutni) 

Oleh itu, hadis ini dinilai oleh Ibn Adiyy sebagai tidak terpelihara (munkar). (Lihat: Ibn Adiyy, al-Kamil, jld. 3, hlm. 387)

2. Jalur kedua

وحدثنا أبو بكر بن محمد بن أحمد بن محمد الأصفهاني بمكة حرسها الله تعالى في المسجد الحرام قال حدثنا أبو الحسن محمد بن سهل عن محمد بن المصفى عن بكر بن سعيد عن سعيد بن قيس عن أبيه قال: قال رسول الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لن يدخل النار من رآني في المنام

3. Jalur ketiga

وأخبرنا أبو الحسن عبد الوهاب بن الحسن الكلابي بدمشق قال حدثني أبو أيوب سليمان بن محمد الخزاعي عن محمد بن المصفى الحمصي عن يحيى بن سعيد القطان عن سعيد بن مسلم عن أنس بن مالك أن النبي صلى الله عليه و سلم قال من رآني في المنام فلن يدخل النار 

Kedua-dua riwayat ini adalah riwayat pengarang kitab Tafsir al-Ahlam. (jld. 1, hlm 57). Setelah saya meneliti kedua-dua riwayat saya dapati bahawa riwayat ini tidak pernah disebut oleh ulama hadis mutaqaddimin dan mutaakhirin. Ibn Adiyy sebagai contoh tidak menyebut hadis ini mempunyai jalur lain selain dari jalur pertama, Begitu juga al-Zahabi dalam Mizan al-I'tidal dan al-Muttaqi al-Hindi dan Kanz al-'Ummal tidak menyebut jalur lain untuk hadis ini selain dari jalur pertama.

Panel fatwa islamweb berpendapat bahawa berlaku tashif dalam sanad jalur kedua dan ketiga. Jalur yang sebenarnya adalah jalur pertama. Manakala jalur kedua dan ketiga adalah kesilapan (tashif) ketika menukil nama-nama perawi. (Lihat: http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=15816)

Saya bersetuju dengan pandangan ini kerana beberapa perkara berikut:

1. Semua jalur ini bertemu pada perawi yang bernama Muhammad bin Musoffa. Beliau pula tidak mempunyai guru yang bernama Bakar bin Said.

2. Bentuk perkataan Bakar dan Yahya dalam tulisan arab amat hampir.

3. Bentuk perkataan al-'Attar dan al-Qattan dalam tulisan arab juga sangat hampir.

4. Bentuk perkataan Maisarah dan Muslim dalam tulisan arab juga lebih kurang sama.

Ini petunjuk yang menunjukkan berlaku tashif dalam sanad jalur kedua dan ketiga.

Kesimpulan

Tidak dinafikan bahawa mimpi bertemu Nabi sallallah alaih wasallam merupakan satu anugerah dari Allah yang amat berharga. Cuma kelebihan syurga bagi orang yang bermimpi tidak ada dalil yang sahih setakat kajian saya. Juga saya ingin berpesan kepada ustaz-ustaz dan tuan-tuan guru, janganlah terlalu banyak bercerita bab mimpi kerana kita ingin membangunkan umat bukan menggalakkan mereka banyak tidur. Berpadalah. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment