Friday 6 September 2013

Benarkah Hadis Menyatakan Obama Akan Meruntuhkan Kaabah?

Telah tersebar di alam maya bahawa terdapat hadis yang menyatakan seorang Habsyah akan meruntuhkan Kaabah. Maka terdapat beberapa pihak yang cuba mengaitkan hadis ini dengan apa yang berlaku di Asia Barat sekarang iaitu Barrack Obama cuba untuk melakukan kekacauan kemudian berusaha untuk merobohkan Kaabah. Justeru, timbul persoalan adakah Obama (Presiden Amerika Syarikat) yang dimaksudkan oleh hadis berkenaan?

Untuk menjawab persoalan ini, perkara berikut perlu dijelaskan:

1. Hadis tentang lelaki Habsyah merobohkan Kaabah itu memang sahih. Imam Bukhari meriwayatkannya dengan lafaz berikut:

«يُخَرِّبُ الكَعْبَةَ ذُو السُّوَيْقَتَيْنِ مِنَ الحَبَشَةِ»

Maksudnya: Kaabah akan dirosakkan oleh seorang Habsyah yang berbetis kecil. (no. hadis: 1596)

2. Sifat lelaki Habsyah yang merobohkan Kaabah juga disebut dalam beberapa hadis.

i. Berbetis kecil seperti dalam hadis yang disebut di atas.

ii. Renggang antara dua betis (kengkang). Lafaz hadisnya dalam sahih Bukhari:

«كَأَنِّي بِهِ أَسْوَدَ أَفْحَجَ، يَقْلَعُهَا حَجَرًا حَجَرًا»

Maksudnya: Seolah-olah aku melihatnya (berkulit) hitam dan renggang dua betisnya ketika merobohkannya (Kaabah) satu batu demi satu batu. (no. hadis: 1595)

iii. Dia merobohkan Kaabah dengan meruntuhkan batunya satu persatu seperti hadis di atas.

iv. Terdapat hadis yang menyatakan sifat Habsyah itu kepalanya botak di sebelah hadapan dan jarinya bengkok. Hadisnya seperti berikut:

Sabda Nabi sallallah alaih wasallam:

" يُخَرِّبُ الْكَعْبَةَ ذُو السُّوَيْقَتَيْنِ مِنَ الْحَبَشَةِ، فَيَسْلُبُهَا حُلِيَّهَا وَيُجَرِّدُهَا مِنْ كِسْوَتِهَا، كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ أُصَيْلِعَ أُفَيْدِعَ، يَضْرِبُ عَلَيْهَا بِمِسْحَاتِهِ وَمِعْوَلِهِ "

Maksudnya: Kaabah akan diruntuhkan oleh seorang yang berbetis kecil dari bangsa Habsyah. Dia akan merampas perhiasan Kaabah dan menanggalkan kelambunya. Seolah-olah aku melihatnya (hari ini) botak hadapan dan berjari bengkok memukulnya dengan kapak

Hadis riwayat Ahmad dan disahihkan oleh Ahmad Syakir. Syuaib al-Arnaut menyatakan lafaz yang menceritakan sifat Habsyah ini diriwayatkan secara mauquf dari Amr bin al-As dan riwayat mauquf lebih sahih dari marfu'. Cuma saya berpandangan jika riwayat mauquf lebih sahih ia tetap mengambil hukum hadis marfu' kerana riwayat ini termasuk dalam perkara ghaib. al-Albani pula menyatakan Ibn Kathir berpandangan sanad hadis ini kuat. Ini kerana walaupun terdapat perawi yang bernama Ibn Ishaq yang meriwayatkan hadis ini tanpa menyatakan dengan lafaz  mendengar yang sarih sedangkan beliau mudallis tetapi ia dikuatkan dengan hadis-hadis lain (syawahid) dalam bab ini. (Lihat: Sahih Ibn Hibban, jld, 2, hlm. 220, al-Silsilah al-Sahihah, jld. 6, hlm. 555)

Walaubagaimana pun saya beranggapan hadis ini DAIF kerana ia menyatakan tambahan sifat yang tidak terdapat dalam hadis-hadis lain dalam bab ini. Wallahua'lam.

3. Soalan seterusnya yang perlu dijawab ialah bilakah berlakunya peristiwa runtuhan Kaabah ini berlaku? Terdapat hadis yang memberi isyarat tentang bila berlakunya peristiwa ini:

( يبايع لرجل بين الركن والمقام ولن يستحل هذا البيت إلا أهله فإذا استحلوه فلا تسل عن هلكة العرب ثم تظهر الحبشة فيخربونه خرابا لا يعمر بعده أبدا وهم الذين يستخرجون كنزه )

(Hadis riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim. Disahihkan oleh Syuaib al-Arnaut dan al-Albani. (Lihat: Sahih Ibn Hibban, jld, 15, hlm. 239, al-Silsilah al-Sahihah, jld. 2, hlm. 78)

Maksudnya: Akan dibai'ah seorang lelaki (Imam Mahdi) di antara al-Rukun dan Maqam Ibrahim. Kaabah tidak akan (mula) dicemari melainkan dari ahlinya (orang-orang Islam). Apabila ia dicemari jangan kamu tanya lagi tentang kehancuran bangsa Arab. Kemudian datangnya Habsyah dan mereka akan merobohkan Kaabah sehinggakan ia tidak boleh dibina semula lagi selama-lamanya. Merekalah yang mengeluarkan harta yang terdapat di dalamnya.

Ibn Hajar menyatakan bahawa peristiwa ini berlaku apabila tidak ada lagi dalam dunia mereka yang menyebut Allah. Bahkan al-Qurtubi menyatakan peristiwa ini berlaku selepas diangkatnya al-Quran iaitu selepas kematian Nabi Isa alaih al-Salam. (Lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, jld. 3, hlm. 461, al-Tibrizi, Misykat al-Masabih, jld. 9, hlm. 1006)

Ini menunjukkan peristiwa ini berlaku setelah munculnya Imam Mahdi. Justeru pada saya untuk menyatakan secara pasti bahawa Habsyah yang diceritakan dalam hadis sebagai Obama sedangkan Imam Mahdi belum muncul adalah satu pandangan yang KURANG TEPAT.


4. Sebagai kesimpulannya saya ingin menyeru kepada penuntut ilmu agama agar berhati-hati sebelum mengaitkan mana-mana peristiwa yang berlaku dalam dunia ini dengan hadis-hadis akhir zaman. Memang tidak dinafikan bahawa pebuatan mengaitkan peristiwa yang berlaku dengan hadis-hadis seperti ini tidaklah dilarang secara mutlak bahkan para sahabat Nabi sallallahu alaih wasallam juga melakukannya. Tetapi proses ini mesti dilakukan dengan melihat keseluruhan hadis dalam bab berkaitan, meneliti laras bahasa yang diucapkan Nabi sallallahu alaih wasallam supaya kita tidak mentafsirkannya dengan sesuatu yang tidak dimaksudkan oleh baginda. Sifat terlalu gopoh untuk mengaitkan peristiwa yang berlaku hari ini dengan hadis akhir zaman juga harus dijauhi kerana gopoh kadang-kadang kita terlepas pandang akan perbezaan antara peristiwa yang berlaku dan hadis. Lihat bagaimana reaksi Sufyan al-Thauri ketika ditanya oleh Hafs bin Ghiyath: Wahai Abu Abdallah, manusia banyak bercakap tentang munculnya Imam Mahdi, apa yang engkau katakan? Jawab beliau: Jika dia (Imam Mahdi) berdiri di depan pintu rumah engkau, jangan engkau melakukan apa-apa (tidak perlu berbai'ah) sehingga semua manusia bersatu melantiknya. (Lihat: Abu Nuaim, Hilyat al-Auliya', jld. 7, hlm. 31) Ini kerana hadis-hadis Mahdi menyatakan antara tanda Mahdi itu ialah seluruh manusia bersetuju melantiknya sebagai pemimpin mereka. (Lihat: Abdullah bin Soleh al-'Ujairiy, Ma'alim wa Manarat fi Tanzil Ahadith al-Malahim wa al-Fitan wa Asyrat al-Sa'ah 'ala al-Waqai' wa al-Hawadith, hlm. 132)


Abu Muaz Muhamad Rozaimi bin Ramle,
Sweileh, Jordan
6 September 2013
8.00 malam

8 comments:

  1. Berkemungkinan juga ada benarnya. Datuk Obama yang dilahirkan di Kenya adalah dari keturunan Luo. Di sini saya Copy & PASTE Bangsa Luo dari Wikipedia: The Luo (also spelled Lwo) are several ethnically and linguistically related ethnic groups in Africa that inhabit an area ranging from South Sudan and Ethiopia, through northern Uganda and eastern Congo (DRC), into western Kenya, and the Mara Region of Tanzania.
    Haruslah kita tahu bahawa negara2 moden Afrika yang sekarang ini adalah hasil tangan dari Penjajah2 seperti Inggeris, Itali Perancis dll yang menggunakan kaedah Rule & Divide. Mrk bermesyuarat dan membahagi2 negara2 yang dijajah seperti org2 lapar yang mengambil makanan di atas dulang besar.
    Di zaman Nabi ketika itu hanya negara Afrika yang bertamaddun adalah Ethopia yang dikenali sbg Habsyah. Malah dari sumber2 kristian terdapat kisah orang2 Abyssinia (Ethopia) yang dikaitkan dgn kisah Ratu Saba’ (Queen Sheba) di Yaman.
    Dan Raja Negus di Habsyah adalah antara Raja yang mendapat surat dari Nabi SAW untuk masuk Islam dan Negus merahsiakan keislamannya dan mati dalam Islam.
    Dalam keadaan umat islam yang terpisah2 oleh negara-negara masing tanpa khalifah islamiyyah dan ditindas di seluruh dunia, maka tibalah masanya kesemua umat Islam seolah2 mahu bersatu. Apabila suara hati umat islam ini terdesak untuk bersatu sebagai Muslimin tanpa bersempadan negara masing2 maka barulah ada kepentingan untuk Al Mahdi dizahirkan. In sha Allah mengikut tok guru saya, Al Mahdi telah pun dilahirkan dan hanya dizahirkan oleh Allah setelah usianya 40 tahun pada hari Jumaat di bulan haji ketika Imam Mekah berkhutbah, muntah2 dan tak boleh jadi imam sehingga digantikan oleh Al Mahdi ..... panjanglah ceritanya......In sha Allah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Obama lahir di hawaii. bkn kenya. tak ssh selidik sikit latar belakang Obama yg betul

      Delete
  2. riduan boleh x enta bgi dalilnya ??bukan sekadar mengikut apa yng dikatakan oleh tok guru enta...yng benar adalah dalil...

    ReplyDelete
  3. cerita hari kiamat ni cerita akan datang.kalau nak tahu kena rujuk dalil.tak ada manusia yang boleh ramal masa depan.kalau ikutkan hadith di atas,zaman keruntuhan kaabah itu berlaku setelah kita tak boleh lagi pakai senjata moden(diruntuhkan pakai kapak).dan masa tu dah tak ada orang yang menyebut nama Allah.sekarang ni ramai lagi.agak-agak panjang sangat ke umur obama boleh hidup sampai tak ada lagi dalam dunia ni orang menyebut nama Allah?dari segi logik pun dah tak boleh diterima akal.

    ReplyDelete
  4. dari segi logik nya,kita sekarang sudah berada di akhir zaman,apa tidak cukup kah tanda-tanda yang jelas bagi seorang mukmin.nak tunggu apa?sampai tiupan sangkakala baru nak buka mata,saat itu maka terbelalak lah mata bagi orang-orang yang leka.sedang tanda-tanda yang diberi sudah nyata untuk dipertimbangkan.ukur lah sesuatu itu menggunakan mata hati.lebih baik dekat kan diri dengan allah,al quran serta sunnah.inshaallah,kita tergolong dikalangan orang-orang mukmin.

    ReplyDelete
  5. Kalian ingin sekali hari akhir dipercepatkan? Sudah bersediakah kalian dgn waktu itu???

    ReplyDelete
  6. Semoga kita semua terselamat dari fitnah al masihud dajjal..

    ReplyDelete
  7. Klu seluruh dunia sokong melantik Imam Mahadi makna masih ada sistem spt radio tv internet kah sblom perang Armageddon

    ReplyDelete